Rabu, 22 April 2009

Etika Menjawab Telefon

Telefon bimbit kini dimiliki hampir semua individu samada yang masih belajar, bekerja, tua ataupun muda, tetapi secanggih mana sekalipun telefon ia tidak bermakna jika individu yang menggunakannya tidak bijak mengendalikan panggilan yang diterima atau ketika membuat panggilan, apatah lagi sehingga mengganggu orang lain.

Pastikan Tujuan
Pastikan anda tahu tujuan membuat panggilan supaya tidak menyusahkan orang yang dihubungi. Jika tidak keberatan, catitkan segala pertanyaan yang hendak diutarakan dan maklumat berkaitan supaya anda tidak perlu membuat panggilan semula untuk bertanyakan pelbagai soalan lagi. Selain itu, anda juga perlu pastikan nombor yang anda dail itu adalah individu yang perlu anda hubungi.

Memulakan Perbualan
Saat memulakan perbualan, pastikan semua pertanyaan disuarakan dengan berhemah. Sebaik-baiknya, mulakan pertanyaan dengan gelaran yang baik seperti encik, puan atau Datuk sekiranya penerima panggilan mempunyai gelaran itu. Pastikan juga, ucapan terima kasih diucapkan pada akhir panggilan supaya anda tidak dipandang sebagai individu yang pentingkan diri sendiri. Cara anda berbual ditelefon menandakan keperibadian anda yang sebenar.

Nada Dering
Kecanggihan zaman teknologi memungkinkan pelbagai nada dering telefon boleh digunakan. Walau secanggih mana nada dering yang anda gunakan, ia perlu dimatikan atau ditukarkan kepada mod senyap setiap kali melangkah ketempat tertentu seperti masjid, mesyuarat atau seminar.

Tidak salah menghormati orang lain apatah lagi majlis yang anda hadiri. Jangan bimbang dengan panggilan tidak berjawab kerana teknologi juga memungkinkan semua panggilan tidak berjawab direkodkan supaya anda boleh menghubungi semula individu yang membuat panggilan tadi.

Pilih Waktu
Sebelum menghubungi seseorang, anda perlu pastikan samada waktu itu sesuai atau tidak. Waktu seperti selepas tengah malam, subuh atau magrhib dianggap sebagai antara waktu tidak sesuai. Ia adalah masa untuk berehat serta melakukan amal ibadat. Panggilan awal pagi atau lewat malam hanya dibenarkan sekiranya terdapat berita kecemasan yang perlu disampaikan. Gunakan perkhidmatan sistem pesanan ringkas (sms) untuk bertanyakan sesuatu dan anda tidak perlu membuat panggilan.

Hak Peribadi
Ada kalanya teman anda sering meninggalkan telefon bimbit mereka merata-rata. Anda dilarang sama sekali mengusik telefon mereka kerana ia dianggap sebagai harta peribadi. Pasti telefon bimbit berkenaan mengandungi senarai nombor rahsia atau mesej peribadi yang pasti tidak patut diketahui orang lain. Sekiranya telefon berkenaan milik ahli keluarga anda sekalipun, anda perlu meminta izin mereka terlebih dahulu.

Selasa, 21 April 2009

Menangani Tekanan Kerja

Akhir-akhir, ini graduan sering mengeluh sukar mendapat pekerjaan sesuai mengikut jiwa dan apa yang dipelajari ketika menuntut di institut pengajian tinggi (IPT) kerana berasakan pasaran kerja dalam negara yang semakin terhad.

Atas alasan itu, ramai tidak kisah memilih pekerjaan diluar bidang pengajian dan taraf berikutan menganggap wang lebih penting bagi menampung kos sara hidup yang semakin tinggi selain diperlukan untuk membayar pinjaman.

Apa pun jenis pekerjaan dilakukan, itu bukan perkara pokok kerana apa yang perlu ditekankan bagaimana seseorang yang baru mula bekerja ataupun sudah lama, menghadapi tekanan ketika ditempat kerja mereka.

Menurut risalah dikeluarkan Kementerian Kesihatan, tekanan bekerja boleh berlaku apabila individu kurang jelas dengan objektif dan struktur organisasi yang dinaunginya selain tidak berpuas hati dengan perkembangan kerjaya, status dan gaji ditawarkan.

Selain itu, tugas membosankan dipercayai mampu menjadi punca seseorang stress dan perkara itu tidak dapat dinafikan kerana memang naluri semulajadi manusia tidak menggemari sesuatu yang menimbulkan jemu.

Konflik interpersonal seperti membabitkan perhubungan antara lain menjadi penyumbang kepada tekanan ditempat kerja apabila individu hilang fokus untuk terus melaksanakan tanggungjawabnya dan melihat semua perkara membebankan.

Bagaimanapun, tekanan ditempat kerja mampu dielakkan jika kita bijak menanganinya termasuk tahu cara terbaik menghiburkan diri apabila terasa berada dalam tertekan.

Langkah pertama yang boleh dilakukan ialah meningkatkan sokongan sosial ditempat kerja iaitu menjalinkan persahabatan sesama rakan sekerja dan berkongsi masalah dengan mereka yang boleh dipercayai.

Selepas itu, cuba praktikkan permikiran yang rasional dan positif kerana pemikiran negatif hanya menimbulkan salah faham antara kita dan pihak lain seperti rakan dan mungkin juga majikan.

Untuk itu apabila keadaan itu berlaku, jangan sesekali biarkan salah faham menjejaskan perasaan dan tindakan serta gantikan pemikiran yang tidak rasional dan negatif tadi dengan keterangan lebih menasabah.

Selain itu, komunikasi juga memainkan peranan penting dalam menangani tekanan kerana komunikasi yang baik membolehkan kita meluahkan pendapat dengan jelas, tepat dan tegas selain menggunakan fakta, bukan mengikut perasaan.

Seterusnya, bagi mengelakkan tekanan, cuba tangani setiap kritikan dengan baik kerana melalui cara itu kita sebenarnya berusaha mengubah diri daripada cepat melenting kepada seorang lebih terbuka dan "cool".

Cara menangani kemarahan pula dengan mengikuti tiga langkah penting iaitu berhenti seketika sambil mengakui anda sebenarnya sedang marah dan cuba bertenang.

Kemudian rancang fikiran anda mengikut kebijaksanaan dan bukan emosi, seterusnya bertindak menggunakan daya tindakan yang lebih berkesan.

Dengan cara itu, akan lebih menjadikan seseorang tenang dalam menghadapi apa jua keadaan mendesak serta mampu mengamalkan cara hidup sihat termasuk bersenam, beriadah dan meditasi menggunakan muzik.