Sabtu, 27 Jun 2009

Kisah Katak Dalam Kolam

Cerita ni saya dapat dari seorang kawan lama. Mungkin boleh jadi pengajaran pada anda.

Pada zaman dahulu, ada seekor katak yang tinggal dalam kolam yang besar dan cantik. Setiap hari katak ini akan menjerit “Ownk, ownk”. Dia tidak henti-henti menjerit dan berkomunikasi dengan katak-katak lain yang berada dalam kolam besar tersebut.

frog

Setelah sekian lama katak ni menjerit, dia mula berfikir.. “Ada orang lain dengar ke aku dok menjerit ni? Adakah usaha aku selama ni sia-sia je? Atau memberikan kesan yang sangat sikit pada komuniti katak dan haiwan lain di sini?”

Setelah berfikir panjang, katak tersebut mengambil keputusan untuk berhijrah ke kolam lain. Dia pun mulalah berjalan dan melompat, berjalan dan melompat sampailah ia ke sebuah kolam kecil yang cantik dan jernih airnya.

Di kolam tersebut, terdapat komuniti katak yang sedikit dan sangat mesra alam. Maka katak tersebut sekali lagi membuat keputusan (katak pun pandai buat keputusan dengan cepat) untuk menetap di kolam tersebut.

Di kolam baru itu, katak ini pun mulalah berkomunikasi seperti dulu “ownk, ownk” tetapi kali ini apa yang diperkatakan oleh katak ini didengari dan dihargai oleh setiap komuniti dalam kolam tersebut.

Malah kehadiran katak tersebut telah memberi impak maksima kepada komuniti di situ. Apa yang diperkatakan sentiasa didengari. Idea bernas yang dikeluarkan juga sangat dihargai.

Maka katak tersebut kini berpuas hati kerana dalam kolam kecil itu kini dia lebih berharga dan dapat memberi impak maksima kepada warga lain dari duduk di kolam yang berprestij dan besar tetapi tidak dapat berbuat apa-apa.

Moral dari cerita ini. Adakah anda sekarang berada disituasi kolam besar atau kolam kecil? Adakah apa yang anda katakan didengari dan adakah anda memberi sumbangan kepada komuniti anda?

Nota: Dalam cerita katak ini tiada katak atau haiwan lain yang tercedera atau mati. Tak seekor pun katak atau haiwan lain dalam cerita ini yang ada kena mengena dengan katak (atau manusia atau haiwan lain) yang hidup atau yang mati.

Rabu, 10 Jun 2009

Scam Alert: SMS Cabutan Bertuah Power Root

Setelah sekian lama sms penipuan semakin kurang. Namun, apabila peraduan Jadi Jutawan Bersama Power Root semakin terkenal, penipu indonesia semakin licik. Tidak hanya dengan sms, malah ada yang lebih ekstrim untuk menelefon mangsa yang kononnya mereka memenangi sejumlah wang daripada Power Root.

Sms Scam Power Root

Sms Scam Power Root

Abang ipar saya turut menerima panggilan yang kononnya beliau memenangi RM20,000 daripada Power Root. Nasib baik beliau segera menelefon saya untuk bertanya samada ianya betul atau tidak. Ia sebenarnya adalah penipu daripada indonesia. Mungkin sebab orang Malaysia memang senang kena tipu apabila melibatkan wang ringgit.

Biasanya nak dapat duit, duit sendiri tergadai. Bak kata pepatah ” yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran”. Inilah matlamat utama blog ini dibina. Elakkan orang ramai daripada tertipu dengan pelbagai helah penipu di internet mahupun teknologi sms.

Walaupun dah didedahkan banyak kali dimedia, pasti ada yang tertipu kerana tidak alert dengan berita semasa dan teruja dengan tawaran yang ditawarkan penipu indonesia ini. Seperti pada akhbar harian metro hari ini, dimana penipuan sms ini kembali setelah lama agak senyap. Mungkin disebabkan sambutan Peraduan Power Root musim kedua ini.

Penipu mengambil kesempatan daripada iklan power di media masa seperti TV untuk menarik minat mangsa yang kononnya telah terpilih untuk memenangi wang RM10,000, RM20,000 dan sebagainya. Ini adalah keratan artikel daripada Harian Metro yang mendedahkan taktik penipuan ini:

PUTRAJAYA: Sindiket menipu orang ramai melalui SMS kembali aktif dan kali ini, sindiket yang dipercayai didalangi warga Indonesia itu menggunakan nama syarikat tertentu bagi mengaburi mangsanya.

Dalam kes terbaru, seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Diana, 20-an, dari Bangi, berkata dia terkejut apabila menerima SMS yang memaklumkannya memenangi wang tunai RM10,000 daripada peraduan yang dianjurkan syarikat pengeluar minuman itu.

“Saya tidak pernah menyertai mana-mana peraduan dan apabila secara tiba-tiba menerima SMS yang menyatakan saya memenangi wang sebanyak itu, saya jadi keliru.

“Saya pernah membaca dalam akhbar mengenai orang ramai yang menjadi mangsa penipuan seperti ini,” katanya yang datang ke pejabat Harian Metro, di sini, semalam.
SMS dari talian 014-956xxx itu seperti berikut: ‘Congratulations! Nombor Telefon Anda tlh b`jaya Mendptkan hadiah Utama Wang RM10,000 dr…Sila telefon 012-812xxxx No Pin 47xx017 Terima Kasih.’

Wartawan Harian Metro kemudian menghubungi nombor 014-956xxxx tetapi tidak dijawab.

Bagaimanapun, ketika dihubungi nombor 012-812xxxx, panggilan itu dijawab seorang lelaki dan daripada dialek digunakan, ia dipercayai seorang warga Indonesia.

Ikuti perbualan antara wartawan Harian Metro yang menyamar sebagai individu yang menerima SMS itu dengan lelaki itu.

Wartawan: Hello. Saya ada terima SMS yang katakan saya menang RM10,000 daripada peraduan.

Lelaki: Ya. Semalam, kami adakan peraduan cabutan bertuah bagi pengguna nombor telefon bimbit dan nombor kamu menang peraduan itu.

Wartawan: Tapi, saya tak masuk apa-apa peraduan.

Lelaki: Ya. Memang. Tapi nombor kamu dipilih daripada beribu nombor lain. Boleh kamu bagi nombor telefon kamu sebab kami mahu masuk komputer.

Wartawan: Betulkah ini peraduan dari…?

Lelaki: Ya. Memang betul. Bagi nombor kamu sekarang.

Wartawan: Boleh saya tahu pejabatnya di mana?

Lelaki: Pejabat kami di KLCC (Kuala Lumpur City Centre).

Wartawan: Boleh saya tahu nama kamu?

Lelaki: Haji Ahmad…Haji Ahmad Yusof. Kamu kena bagi nombor telefon kamu supaya boleh dimasukkan dalam komputer. Lagi cepat kamu bagi, lagi cepat kamu dapat duit.

Wartawan: Buat apa saya mahu bagi nombor saya sebab kan nombor saya sudah dipilih sebagai pemenang?

Lelaki: Memang. Tapi saya tak tahu nombor kamu.

Wartawan: Boleh saya tahu jawatan kamu di sini (KLCC).

Lelaki: Saya kerja opis.

Wartawan: Apa jawatan kamu di sini?

Lelaki: Kerja opis la.

Perbualan terhenti di situ apabila lelaki itu memutuskan talian. Wartawan Harian Metro cuba menghubungi nombor telefon bimbit itu sekali lagi tetapi tidak dijawab.

Harian Metro pernah mendedahkan taktik sama digunakan satu sindiket menggunakan nama beberapa syarikat.

Sumber: Harian Metro

Biasanya penipuan ini mengunakan jenama terkenal seperti Petronas, Astro, Akademi Fantasia, Power Root dan banyak lagi.

Jika anda menerima sms atau panggilan telefon yang kononnya anda memenangi peraduan sedangkan anda tidak menyertainya. Abaikan dan jangan mudah mempercayainya. Jika anda menyertainya, biasanya yang akan menelefon adalah Rosyam Nor dan ketika itu ianya secara langsung menerusi TV3.

Harap anda tidak tertipu..